Thursday 2 February 2012

Tafsiran Harta Sepencarian

Soalan
BOLEHKAH harta sepencarian dituntut seorang isteri walaupun dia tidak bekerja dan bagaimana pula dengan pembahagiannya? Bagaimana pula situasi jika si suami berpoligami tetapi isteri kedua bekerja? Bagaimana pula pembahagiannya?

Jawapan
HARTA sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai perolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan yang mana membabitkan harta alih atau tidak alih dan juga pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau sebaliknya. Sumbangan secara langsung adalah seperti isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan dan sumbangan tidak langsung ialah isteri menunaikan tanggungjawab sebagai isteri sehingga membolehkan suami bekerja dan mendapat harta. Ini termasuk sumbangan isteri dalam menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami sehingga menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya seterusnya dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada suami.

Ia boleh dituntut walaupun isteri tidak bekerja. Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak yang berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyatakan secara jelas, cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian dibuat oleh hakim di mahkamah kerana caranya tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.